Thursday, August 16, 2007

Sastera dan saya.

Bagaimanakah kita melihat sesuatu karya sastera? Bagaimana kita menilai sesuatu karya itu sebagai karya sastera, ataupun semuanya yang dikatakan hasil penulisan itu adalah karya sastera- perkataan sastera itu sendiri datang dari cystra yang bermaksud hasil penulisan- maka bolehkah kita merumuskan semuanya hasil penulisan itu adalah karya sastera?

Boleh saja untuk bersetuju atau tidak bersetuju.

Akan tetapi kita tahu manusia berkeupayaan memberi makna. Menuangkan makna kepada satu perkataan. Agar maksud dari perkataan itu menjadi besar dan membina erti. Kita ambil saja perkataan ‘sastera’ itu sebagai contoh. Boleh saja makna nya hanya secara literal; apa-apa saja hasil penulisan, ataupun sastera yang sudah ‘diberatkan’ dengan makna yang pelbagai; sastera itu harus ada estetika, bermoral, ada unsur perlawanan ataupun sebaliknya.

Kita cuba dan berhempas pulas untuk memahami apa itu seni? Apa itu sastera? Makna, ada yang disuapkan kepada kita. Ada yang kita ciptakan. Mana satu yang betul. Adakah semuanya betul atau semuanya salah?

Dan kita dengar seni untuk masyarakat, seni untuk seni dan seni untuk tuhan. Pergulatan panjang mencari makna seni/sastera dan juga peranannya dan itulah hasilnya. Paling tidak di Malaysia dan Indonesia. Semuanya sebenarnya mencari, menuangkan atau memaksakan makna dan erti kepada kita.

Maka saya dengan rendah hati menanyakan mengapa tidak ada seni untuk saya sebagai batang tubuh, individu dan yang punya upaya untuk memberi erti?

Rumit. Ya saya tahu sangat rumit. Kerana kita tidak pernah percaya akan diri kita sendiri, sebagai batang tubuh yang punyai erti serta keluasan makna yang tidak terjangkau. Maka jika percaya akan DIRI kita, maka seni itu kita bangunkan demi kebebasan. Kebebasan dari kolektivisme, lembaga negara yang lemah dan ketuanan ideolog.

Dan saya mahukan seni dan SAYA. Untuk SAYA. Dan ia susah…

Kerana kebebasan ada kecemburuan. Dan juga dicemburui.

KEBEBASAN diragukan, dipertikaikan oleh agamawan, kolektivis, individualis dan juga sebenarnya oleh batang tubuh DIRI SENDIRI. Bila saja seni dan kebebasan dihubungkan maka ia mula diperhatikan. Kerana masing-masing kelompok punya ‘moral’ tersendiri, walau kepada yang mendabik dada melaungkan dialah yang paling bohemian.

Saya tidak pernah pusing dengan makna serta erti yang tersimpan rapi dalam diri masing-masing. Saya mulai ‘suspicious’ bila ia mulai mahu dilembagakan, mahu diinstitusikan. Kerana makna yang dipunyai kekeramatan DIRI, akan mula dipaksakan. Moral anda, kelompok dan ideologi sekarang sudah mahu dijadikan moral saya, seni saya dan sastera saya. Saya mula tercekik lemas.

Dan tiba-tiba ada ‘krisis moral dalam sastera Malaysia’.

Bukankah ia krisis kamu( kepada yang mahu memaksakan), moral kamu, sastera kamu dan Malaysia kamu! Bukan saya.

Krisis moral dalam Malaysia, bagi saya bukanlah bila sang penulis mula terjun ke ruang ‘eros’. ‘The Decline’ bagi SAYA, bila penulis yang ingin bergayut di ranting eros jatuh terjelopok di kubang kelucahan. Dan ‘decline’ itu bukan kepada apa yang dia pilih( bergayut ataupun terjun), tapi kerana ‘kepoyoan’ dan kepura-puraannya. Kerana dari mula dia( penulis yang bergayut tadi) sudah tahu dia tidak akan mampu dan tidak mahu pun untuk mencapai ruang eros yang diterokai oleh Henry Miller.

Apa yang dia mampu hanyalah untuk meniru aksi-aksi panas. Keberahian dan amor platonicus gagal untuk dia fahami. Yang ditulis hanyalah kerana wang, dan kritikan saya bukanlah kerana pilihan untuk wang itu, tapi kerana gagal dan tidak ada keberanian untuk mengaku tujuan asal. Itu bagi saya krisis moral!

Krisis moral yang bermula bila ruang sudah ditutup. Ekspresi sudah jadi konformiti dan seragam. Di situ estetika hancur. Dan estetika itu hilang bukan bila sang penulis mampu mengangkat isu eros untuk memahami maksud ‘longing to know’ . Tapi bila estetika itu ditentukan pemerintah, dan lembaga yang kononnya untuk memartabatkan seni dan sastera.

Bersambung…

Friday, June 01, 2007

Lina Joy

Apa yang tersimpan di hati kamu? Tiada siapa yang tahu. Cuma aku. Adalah manusia yang tidak mahu tahu. Apa yang tersemat, biarlah ia simpan rapi. Mungkin ini hanya boleh jika aku masih aku, iaitu individu dan bukan orang yang berkuasa, atau yang lebih malang manusia kepingin berkuasa untuk menguasai.

Tapi sejarah entiti yang ingin menguasai adalah begitu, menunjukkan yang sebaliknya adalah mustahil sama-sekali. Ia sibuk sekali ingin menerobos yang tersemat di hati kamu dan juga di hati aku. Ia mahu tahu. Ia adalah lawan kepada wujudnya diri kamu dan aku.

Aku risau! Dan kau kepalang sedih.

Iman engkau seorang menggugat tiang paut mereka. Ya! hanya tiang tegak untuk mereka berpaut. Di situlah keyakinan, kepercayaan, kekuatan dan apa yang mereka kata sebagai IMAN. Jadi jangan engkau bersedih. Tiang tegak yang retak tiada upaya menahan angin kencang!

Mahkamah sudah bersidang, keputusan sudah diumumkan. Apa lagi yang mereka mahu? Menukar iman kau? Sedangkan mereka sendiri tidak yakin akan iman mereka, agama mereka apatah lagi Tuhan mereka.

Sunday, October 15, 2006

horoskop jawa

Oleh kerana terpengaruh dengan panggilan Saudara Khalid Jaafar untuk 'menilik' diri mengikut kalendar jawa, maka saya tidak dapat menahan perasaan untuk tahu, dan terus belajar ilmu jawa ini. Eureka! saya telah berjaya rupanya untuk menilik diri saya sendiri mengikut kiraan kalendar jawa yang dikenal sebagai Wetonan.Saya dilahirkan pada hari yang dikenal sebagai Selasa Legi. Akan tetapi saya tidak akan mengikut jejak langkah Saudara Khalid Jaafar untuk mendedahkan sifat saya mengikut takwim Jawa ini.

Wednesday, August 16, 2006

Berkerut kening saya bila memikirkan pernyataan yang dikeluarkan oleh mantan Ketua Pemuda PAS Pusat berkenaan isu Filem Gubra. Beliau dilaporkan mahu pihak berkuasa mengharamkan filem tersebut dan menarik balik gelar filem terbaik itu yang dimenangi di Festival Filem Malaysia ke 19.

Saudara Mahfuz Omar dilaporkan berkata, “Kalaupun ada suasana realiti yang dipersembahkan, tidak bermaksud kita mesti menerima semua yang dihadapkan kepada kita”, dari pernyataannya di sini kita boleh faham bahawa tidak semua manusia boleh bersetuju ke atas satu perkara, mustahil. Akan tetapi kita juga menerima hakikat bahawa kita tidak boleh! Untuk menghalang hak orang lain untuk berekspresi, biarlah betapa jelik sehingga terjeluih lidah kita kerana meluat dan betapa tidak bermutunya bahan yang kita lihat, rasa dan dengar. Mahfuz harus sedar, sikap dan pernyataannya sangat berlawanan sama-sekali, di satu sisi beliau mengakui ada realiti yang dia dan mungkin juga saya tidak sanggup untuk menghadapinya, akan tetapi dia seolah percaya kita wajib untuk menghalang, bukan sahaja perkara buruk yang berlaku depan mata, tetapi bahan dan mesej ekspresi yang ingin memaparkan nilai yang tidak bersesuaian dengan nilai beliau.

Inikan sakit namanya! Penyakit yang sampai sekarang saya sedang meniliknya, cuba memahaminya. Saya ingat hanya puak yang terperangkap dengan rasionalisme ekstrem sahaja yang berpegang teguh dengan faham bahawa mereka boleh mengatur tindak-tanduk manusia, langsung meremehkan sisi tindak spontan insani. Dalam sejarah kita melihat Nazisme sebagai contoh terbaik( kumpulan terburuk) yang mewakili golongan ini. Bagi Nazisme, Akal mampu meberi segala jawapan. Akan tetapi jangan kita lupa, lipatan sejarah juga memperihalkan golongan yang meremehkan akal( A sudah dikecilkan), mengangkat dalam erti kata menunggangi wahyu sebagai “pemberi” segala jawapan. Golongan ini boleh sahaja berada dalam pelbagai bentuk kepercayaaan. Dalam konteks Malaysia mereka ini boleh saja duduk dalam organisasi seperti PAS, Abim, JIM dan Pejabat Mufti.

Sebenarnya kita melihat dua kutub pemikiran yang jauh dan sukar disatukan. Walau begitu absurditi mula timbul, dua kutub yang pasti tidak akan bertemu dan sering berbentur, mempunyai persamaaan yang fundamental; kedua- duanya FUNDAMENTALIS. Keduanya hegemonik dan menjajah, hauskan kuasa dan mereka percaya dengan kuasa dan apapun nama bagi kuasa tersebut, barulah program mereka akan berjaya. Obsesi kuasa dan pemerintahan ini menyebabkan mereka akan mencipta sebuah kerajaan-sentrik, dan mereka ini layak digelar ekspansionis kuasa(mabuk kuasa)

Betapa menyedihkan, kerana kali ini kita terpaksa berhadapan dengan orang seperti Mahfuz Omar yang segala fatwanya hanya seperti dua sisi duit syiling, hitam atau putih! Perhatikan kata beliau,

“Dalam filem itu, katanya, ada adegan seorang bilal memegang anjing dan memandang mudah aktiviti jirannya yang jelas bergelumang dengan maksiat iaitu melacur”

"Apa mesejnya melalui watak bilal ini? Sama ada mahu menyinggung Islam atau ingin mengajar orang beragama supaya menerima perlakuan tidak wajar?" tanyanya.

Seorang yang dekat dengan Tuhannya membenci ketidakadilan, hatta ketidakadilan itu mengenai sekor anjing maupun seorang pelacur. Semuanya wajib dibela. Tetapi bagi Mahfuz semuanya harus dihukum, persoalannya mengenai hukuman dan jawapannya juga menghukum. Sedih, dunia Mahfuz dan mungkin juga Dunia Parti Islam SeMalaysia adalah ruang semua orang bersalah dan dan wajar dihukum.

Saudara Mahfuz tidak pula membahaskan permasalahan sosio-budaya dan stigma yang mengenai para pekerja seks ini dan impaknya kepada sosiologi kesihatan. Hal ini tidak penting bagi beliau, kerana filem yang memakan masa 2 jam itu hanya ada serampang tiga mata iaitu:

1) menyebar faham liberalisme
2) menyinggung Islam
3) advokasi orang agar orang menjadi lebih tidak bermoral.

Itulah mantan Ketua Pemuda PAS Pusat, setakat itu sahaja, jangan diharapkan perbincangan mendalam mengenai filem itu, baik kelemahan dan kekuatannya. Kelemahan filem yang lahir mungkin dari mesej “superficial” yang cuba diterapkan oleh Yasmin Ahmad. Dan juga kekuatan kerana filem mini berani dan provokatif, segar dan bertepatan dengan kemelut masyarakat di Malaysia langsung tidak disentuh oleh Mahfuz Omar.

Apa yang sering kita dengar, adalah PENGHARAMAN, HARAM, BERDOSA, KONSPIRASI YAHUDI DAN KUTUKAN. Saya lelah mendengarnya, nampaknya di dunia ini yang layak dibaca hanya Petunjuk Sepanjang Jalan, Mengapa Saya Berintima’ dengan Islam, Jundullah, Mencari Khilafah yang Hilang dan Rukun Baiah. Apakah dengan meminta supaya diharamkan filem Gubra yang dituduh menyebarkan faham liberalisme ini maka semua yang berkaitan dengan liberalisme wajib diharamkan? Permintaan ini menunjukkan betapa jahil dan dangkal pemahaman golongan Harussaniyyun ini. Sebagai contoh, apakah nasib mahasiswa undang-undang yang undang-undangnya memang berkembang kerana pengaruh liberalisme di Eropah, tokoh-tokoh seperti Austin yang berinteraksi dengan Mill, dan Montesquieu yang memperkenalkan pemisahan kuasa itu semuanya adalah tokoh liberalisme. Jadi kalau beginilah, bukan sahaja buku teks itu dibakar, pelajarnya berdosa kerana belajar undang-undang, pensyarahnya makan duit haram, fakultinya harus dirobohkan dan tidak hairan kalau mereka menuntut untuk dirobohkan sahaja INSTITUSI MAHKAMAH.


Maka yang lebih merbahaya sebenarnya adalah permainan kuasa mereka, cuba membakar sentimen dan mengipas semangat perkauman yang nanti akan memakan diri. Mahfuz dalam pernyataannya menyebut,

“Objektif kementeriaan berkenaan menampil serta mengekalkan budaya dan nilai-nilai murni rakyat negara ini nampaknya gagal kerana menobatkan filem yang tonjolkan budaya serba songsang," katanya.

"Lihat sekarang, hasil 'produk' filem tersebut, secara terang-terang memperlekehkan budaya bangsa iaitu bahasa Melayu,"

Kita dapat melihat dari dua pernyataan ini, yang pertamanya adalah menghentam Dr. Rais Yatim; yang kununnya kesal dengan sikap Sharifah Amani kerana tidak yakin dengan Bahasa Melayu. Maka untuk mencapai matlamat weltanschauung gerakan Harussaniyyun, saudara Mahfuz telah memprovokasi Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Persoalannya Dr. Rais sendiri tidak mempunyai keyakinan kerana itu dia kecewa, sikapnya seperti penyokong Mawi yang kecewa kerana Mawi putus tunang. Mungkin bagi Dr. Rais martabat bahasa Melayu tinggi jika orang seperti Mawi dan Sharifah Amani bercakap bahasa Melayu, bukannya kalau ada terjemahan karya besar ke dalam bahasa Melayu ataupun keluarnya karya besar dalam bahasa Melayu. Kedua-dua Dr. Rais dan Mahfuz sebenarnya gagal menanggapi apa itu Budaya dan Kebudayaan sebenarnya. Lalu apa yang berlawanan dengan persepsi budaya mereka maka itu adalah budaya songsang.

Dan saudara Mahfuz Omar melanjutkan lagi misi suci beliau itu dengan pernyataan,

“Ini lebih bahaya kerana dilakukan secara selindung tanpa pengetahuan pihak berkuasa dan kerajaan.”

"Kalau tidak dihalang, akan muncul banyak lagi filem yang menyesatkan seumpama ini," kata Mahfuz merujuk kepada filem Sepet dan Gubra yang menyindir bahasa Melayu, orang Melayu dan agama Islam.”

Iaitu bersembunyi disebalik perjuangan Islam untuk memperjuangkan agenda rasis. Apa yang mereka mahu kan bukanlah sebuah negara yang bernama Malaysia, tetapi tanah tumpah yang mereka boleh menjadi eksklusif, rasis dan fasis. Bila saja mereka terancam mereka akan “menyeret” Tuhan, Rasul dan Kitab Suci untuk ditunggangi.

Thursday, May 25, 2006

AKU BUKAN KOMUNIS 2

Kerajaan Otoritarian adalah sebuah pemerintahan yang menidakkan kebebasan, kata Karl Popper. Secara dasar dan tepat saya rasa itulah definisi terbaik. Kita lupakanlah samada kiri atau kanan, ataupun komunisme ataupun tidak. Yang penting kita menentang pemerintahan yang bertitik-tolak dari satu tesis yang mereka mengetahui semua, semuanya dalam jangkauan pengetahuan mereka. Oleh kerana mereka mengetahui semuanya, maka segala tindak tanduk manusia boleh diatur dan diarah untuk kununnya “ tujuan bersama”(common purpose). “Common Purpose” merupakan satu senjata ampuh bagi mana-mana penguasa dan kita jangan lupa sesungguhnya “Power is corrupt, absolute power corrupt absolutely”. Terjun untuk menunaikan cita-cita bersama sang pemerintah di dalam kerangka bahawa mereka mengetahui yang terbaik dan merekalah sebaik-baiknya mengatur(planning), umpama menyerah leher untuk disembelih. Ini lah bagi saya intipati penting yang harus diulas oleh saudara Zainul Arifin. Kegagalan untuk menyerang dasar ataupun mengenalpasti esensi otoritarian dan totalitarian ini( samaada sengaja ataupun tidak) benar-benar fatal untuk perkembangan masyarakat Malaysia. Kecualilah memang tujuan tulisan itu untuk membodohkan massa.


.

Wednesday, May 24, 2006

AKU BUKAN KOMUNIS

Suratkhabar perdana berbahasa inggeris hari ini, 24 Mei, telah menerbitkan satu artikel yang ditulis oleh seseorang yang bernama Zainul Arifin. Tulisan itu bertajuk It’s not just the title that matters. Sesungguhnya tidak ada isu yang lebih mendapat perhatian melainkan isu filem “Lelaki komunis Terakhir”, dan tulisan ini tidak mahu ketinggalan di dalam memberi pendapat( lebih kepada jiwa sentimental beliau sebenarnya) dan terjebak ke dalam polemik pengharaman filem tersebut.

Tulisan beliau membuatkan saya berfikir sejenak dan lalu membuat keputusan untuk menulis satu respon. Pertamanya,saya sangat bersetuju, tidak ada apa pada tajuk, apalah yang ada pada nama? Samalah dengan Shakespeare yang menukilkan What's in a Name? "What’s in a name? That which we call a rose by any other name would smell as sweet" --Juliet, Romeo & Juliet: Act 2 Scene. Sangat bodohlah manusia yang hanya menilai paparan luar sesuatu subjek tanpa membedah apa sebenarnya isi subjek itu. Di situ saya bersama dengan seorang manusia yang bernama Zainul Arifin. Tidak lebih, hanya di situ.

Kenapa?

Kerana selepas itu hujah beliau hanyalah hujah lapuk golongan yang ingin mempertahankan cauvinisme dan konsepsi Ketuanan Melayu( baca: UMNO). Dengan berbekalkan kebolehan berbahasa inggeris, hujahnya hanyalah bersifar sentimental belaka, hujah yang mahu karyawan sentiasa bertanggungjawab terhadap karya mereka, dan oleh kerana untuk kepentingan kolektivisme sangat wajiblah karyawan mengorbankan kreativiti dan yang paling malang mengorbankan kebebasan berekspresi.

Pada pandangan saya, tanyalah mana-mana karyawan yang bersungguh-sungguh untuk berkarya, pasti mereka bertanggungjawab terhadap karya mereka. Tetapi bagaimana dengan kebebasan? Seringkali perkataaan dan konsepsi tanggungjawab menjadi altar untuk korban konsepsi KEBEBASAN.Adakah saya berpegang kepada mazhab untuk kebebasan kita boleh melakukan apa sahaja? Membunuh? Merogol? Saya menjawab TIDAK. Akan tetapi kita harus tahu sempadan kebebasan di Negara kita ditentukan oleh elit politik seperti BARISAN NASIONAL yang membungkam kebebasan untuk berkarya untuk kepentingan politik mereka. Mereka menggunakan undang-undang untuk menterjemah dan mentafsir apa itu seni, moraliti, tanggungjawab dan APA ITU KEBEBASAN. Tangan penguasa menjadi semakin panjang oleh kerana magik tafsiran yang sepatutnya berada pada kita, tetapi telah diserahkan kepada pemerintah.

Maka penulis seperti Zainul Arifin selamanya akan menjadi alat samaada secara sengaja atau tidak kepada penguasa yang takut imajinasi kebebasan akan menguasai orang muda, imajinasi yang menjadi mukjizat yang akan diterokai oleh generasi untuk mendobrak dogma-dogma politik. Dogma-dogma yang menghantui generasi terdahulu Negara kita. Tanyalah apa yang sebenarnya ditakuti mengenai komunis? Jawapannya adalah Negara kita akan menjadi Negara kepunyaan orang cina. Akan tetapi mereka ini tidaklah dipersalahkan, kerana projek barisan nasional memang begitu, agar kita bergantung harap kepada mereka selamanya. Agar institusi mereka tidak digugat kerana merekalah yang akan menghalang Negara ini menjadi Negara orang cina. Merekalah wira. Sedangkan bahaya komunisme pada konteks zaman itu ialah WUJUDNYA KERAJAAN OTORITARIAN. Kerajaan yang tidak akan memilih bulu untuk menindas, baiknya kaum tiong hua, melayu maupun India dan kaum-kaum yang lainnya.

Saturday, May 13, 2006

pertemuan

Bersua dan bertemu tidak wajib bertentang mata. Percayalah. Aku hari ini bersua dengan empat insan. Pertemuan yang menerbitkan rasa keterdekatan itu mengganggu aku, lalu menimbulkan banyak pertanyaan. Pertemuan yang sebenarnya lewat sebuah buku dan dua buah filem. Sehingga saat aku mencoret apa yang ada di paparan ini, perasaan ini sukar digambarkan. Adakah aku terpana atau terharu? Atau cemburu? Dan aku sebenarnya mengharap, perasaan itu adalah cemburu. Entah kenapa aku mengharap sedemikian, aku pun tak tahu jawapannya.

Aku bangun dari tidur hari ini, menggosok gigi dan menatap cermin. Sial betul! Umurku 26 tahun, belum berhasil satu risalah apapun untuk kuhidangkan kepada manusia. Ya! Aku memang cemburu, mana tidaknya pada umurnya lebih kurang 25 tahun, anak orang kaya dari Vienna yang bernama Ludwig Wittgenstein telah mula menulis satu risalah yang besar bertajuk Tractatus Logico-Philosophicus. Orang berada ini menulisnya di celah parit-parit dan mayat soldadu Perang Dunia Pertama. Umur 25! Dan aku masih merangkak menghafal nota-nota pengajian sekadar untuk lulus peperiksaan.

Sebelum aku terlupa, pertemuan angan-angan itu terjadi kerana terinspirasi dari sebuah buku yang berjudul Wittgenstein’s Poker. Buku ini berkisar pada satu pertemuan tidak sampai 10 menit, yang “dikatakan” dan “digossipkan” telah berlaku kejadian tidak diingini antara dua filasuf besar; Karl Popper dan Ludwig Wittgenstein. Perdebatan kononnya bertukar menjadi hangat dan panas. Wittgenstein dikatakan mengacu besi pencucuk arang ke muka Popper dan dibalas Popper dengan satu ayat yang cukup terkenal, “ adalah salah mengugut dengan mengacu pencucuk kepada muka tetamu anda”.

Pertengkaran itulah menjadi latar bagi buku ini. Cuba mencari disebalik lembar sejarah di sebalik dua tokoh itu. Buku ini bagiku ada prejudisnya. Biarlah. Bukan kerana apa, kerana kedua-dua tokoh sudah “mengenakan” sihirnya. Aku sudah terpukau! Popper anak peguam Vienna yang agak berada pada mulanya, akan tetapi ayahnya jatuh susah apabila perang dunia pertama meletus. Tapi koleksi 10 000 ribu buku dirumahnya memungkinkan Popper belajar dan berfikir, seterusnya menjadi besar sebagaimana yang kita tahu. Tokoh yang menulis Open Society and Its Enemies ini adalah pencabar Wittgenstein yang utama.

bersambung.....