Wednesday, August 16, 2006

Berkerut kening saya bila memikirkan pernyataan yang dikeluarkan oleh mantan Ketua Pemuda PAS Pusat berkenaan isu Filem Gubra. Beliau dilaporkan mahu pihak berkuasa mengharamkan filem tersebut dan menarik balik gelar filem terbaik itu yang dimenangi di Festival Filem Malaysia ke 19.

Saudara Mahfuz Omar dilaporkan berkata, “Kalaupun ada suasana realiti yang dipersembahkan, tidak bermaksud kita mesti menerima semua yang dihadapkan kepada kita”, dari pernyataannya di sini kita boleh faham bahawa tidak semua manusia boleh bersetuju ke atas satu perkara, mustahil. Akan tetapi kita juga menerima hakikat bahawa kita tidak boleh! Untuk menghalang hak orang lain untuk berekspresi, biarlah betapa jelik sehingga terjeluih lidah kita kerana meluat dan betapa tidak bermutunya bahan yang kita lihat, rasa dan dengar. Mahfuz harus sedar, sikap dan pernyataannya sangat berlawanan sama-sekali, di satu sisi beliau mengakui ada realiti yang dia dan mungkin juga saya tidak sanggup untuk menghadapinya, akan tetapi dia seolah percaya kita wajib untuk menghalang, bukan sahaja perkara buruk yang berlaku depan mata, tetapi bahan dan mesej ekspresi yang ingin memaparkan nilai yang tidak bersesuaian dengan nilai beliau.

Inikan sakit namanya! Penyakit yang sampai sekarang saya sedang meniliknya, cuba memahaminya. Saya ingat hanya puak yang terperangkap dengan rasionalisme ekstrem sahaja yang berpegang teguh dengan faham bahawa mereka boleh mengatur tindak-tanduk manusia, langsung meremehkan sisi tindak spontan insani. Dalam sejarah kita melihat Nazisme sebagai contoh terbaik( kumpulan terburuk) yang mewakili golongan ini. Bagi Nazisme, Akal mampu meberi segala jawapan. Akan tetapi jangan kita lupa, lipatan sejarah juga memperihalkan golongan yang meremehkan akal( A sudah dikecilkan), mengangkat dalam erti kata menunggangi wahyu sebagai “pemberi” segala jawapan. Golongan ini boleh sahaja berada dalam pelbagai bentuk kepercayaaan. Dalam konteks Malaysia mereka ini boleh saja duduk dalam organisasi seperti PAS, Abim, JIM dan Pejabat Mufti.

Sebenarnya kita melihat dua kutub pemikiran yang jauh dan sukar disatukan. Walau begitu absurditi mula timbul, dua kutub yang pasti tidak akan bertemu dan sering berbentur, mempunyai persamaaan yang fundamental; kedua- duanya FUNDAMENTALIS. Keduanya hegemonik dan menjajah, hauskan kuasa dan mereka percaya dengan kuasa dan apapun nama bagi kuasa tersebut, barulah program mereka akan berjaya. Obsesi kuasa dan pemerintahan ini menyebabkan mereka akan mencipta sebuah kerajaan-sentrik, dan mereka ini layak digelar ekspansionis kuasa(mabuk kuasa)

Betapa menyedihkan, kerana kali ini kita terpaksa berhadapan dengan orang seperti Mahfuz Omar yang segala fatwanya hanya seperti dua sisi duit syiling, hitam atau putih! Perhatikan kata beliau,

“Dalam filem itu, katanya, ada adegan seorang bilal memegang anjing dan memandang mudah aktiviti jirannya yang jelas bergelumang dengan maksiat iaitu melacur”

"Apa mesejnya melalui watak bilal ini? Sama ada mahu menyinggung Islam atau ingin mengajar orang beragama supaya menerima perlakuan tidak wajar?" tanyanya.

Seorang yang dekat dengan Tuhannya membenci ketidakadilan, hatta ketidakadilan itu mengenai sekor anjing maupun seorang pelacur. Semuanya wajib dibela. Tetapi bagi Mahfuz semuanya harus dihukum, persoalannya mengenai hukuman dan jawapannya juga menghukum. Sedih, dunia Mahfuz dan mungkin juga Dunia Parti Islam SeMalaysia adalah ruang semua orang bersalah dan dan wajar dihukum.

Saudara Mahfuz tidak pula membahaskan permasalahan sosio-budaya dan stigma yang mengenai para pekerja seks ini dan impaknya kepada sosiologi kesihatan. Hal ini tidak penting bagi beliau, kerana filem yang memakan masa 2 jam itu hanya ada serampang tiga mata iaitu:

1) menyebar faham liberalisme
2) menyinggung Islam
3) advokasi orang agar orang menjadi lebih tidak bermoral.

Itulah mantan Ketua Pemuda PAS Pusat, setakat itu sahaja, jangan diharapkan perbincangan mendalam mengenai filem itu, baik kelemahan dan kekuatannya. Kelemahan filem yang lahir mungkin dari mesej “superficial” yang cuba diterapkan oleh Yasmin Ahmad. Dan juga kekuatan kerana filem mini berani dan provokatif, segar dan bertepatan dengan kemelut masyarakat di Malaysia langsung tidak disentuh oleh Mahfuz Omar.

Apa yang sering kita dengar, adalah PENGHARAMAN, HARAM, BERDOSA, KONSPIRASI YAHUDI DAN KUTUKAN. Saya lelah mendengarnya, nampaknya di dunia ini yang layak dibaca hanya Petunjuk Sepanjang Jalan, Mengapa Saya Berintima’ dengan Islam, Jundullah, Mencari Khilafah yang Hilang dan Rukun Baiah. Apakah dengan meminta supaya diharamkan filem Gubra yang dituduh menyebarkan faham liberalisme ini maka semua yang berkaitan dengan liberalisme wajib diharamkan? Permintaan ini menunjukkan betapa jahil dan dangkal pemahaman golongan Harussaniyyun ini. Sebagai contoh, apakah nasib mahasiswa undang-undang yang undang-undangnya memang berkembang kerana pengaruh liberalisme di Eropah, tokoh-tokoh seperti Austin yang berinteraksi dengan Mill, dan Montesquieu yang memperkenalkan pemisahan kuasa itu semuanya adalah tokoh liberalisme. Jadi kalau beginilah, bukan sahaja buku teks itu dibakar, pelajarnya berdosa kerana belajar undang-undang, pensyarahnya makan duit haram, fakultinya harus dirobohkan dan tidak hairan kalau mereka menuntut untuk dirobohkan sahaja INSTITUSI MAHKAMAH.


Maka yang lebih merbahaya sebenarnya adalah permainan kuasa mereka, cuba membakar sentimen dan mengipas semangat perkauman yang nanti akan memakan diri. Mahfuz dalam pernyataannya menyebut,

“Objektif kementeriaan berkenaan menampil serta mengekalkan budaya dan nilai-nilai murni rakyat negara ini nampaknya gagal kerana menobatkan filem yang tonjolkan budaya serba songsang," katanya.

"Lihat sekarang, hasil 'produk' filem tersebut, secara terang-terang memperlekehkan budaya bangsa iaitu bahasa Melayu,"

Kita dapat melihat dari dua pernyataan ini, yang pertamanya adalah menghentam Dr. Rais Yatim; yang kununnya kesal dengan sikap Sharifah Amani kerana tidak yakin dengan Bahasa Melayu. Maka untuk mencapai matlamat weltanschauung gerakan Harussaniyyun, saudara Mahfuz telah memprovokasi Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Persoalannya Dr. Rais sendiri tidak mempunyai keyakinan kerana itu dia kecewa, sikapnya seperti penyokong Mawi yang kecewa kerana Mawi putus tunang. Mungkin bagi Dr. Rais martabat bahasa Melayu tinggi jika orang seperti Mawi dan Sharifah Amani bercakap bahasa Melayu, bukannya kalau ada terjemahan karya besar ke dalam bahasa Melayu ataupun keluarnya karya besar dalam bahasa Melayu. Kedua-dua Dr. Rais dan Mahfuz sebenarnya gagal menanggapi apa itu Budaya dan Kebudayaan sebenarnya. Lalu apa yang berlawanan dengan persepsi budaya mereka maka itu adalah budaya songsang.

Dan saudara Mahfuz Omar melanjutkan lagi misi suci beliau itu dengan pernyataan,

“Ini lebih bahaya kerana dilakukan secara selindung tanpa pengetahuan pihak berkuasa dan kerajaan.”

"Kalau tidak dihalang, akan muncul banyak lagi filem yang menyesatkan seumpama ini," kata Mahfuz merujuk kepada filem Sepet dan Gubra yang menyindir bahasa Melayu, orang Melayu dan agama Islam.”

Iaitu bersembunyi disebalik perjuangan Islam untuk memperjuangkan agenda rasis. Apa yang mereka mahu kan bukanlah sebuah negara yang bernama Malaysia, tetapi tanah tumpah yang mereka boleh menjadi eksklusif, rasis dan fasis. Bila saja mereka terancam mereka akan “menyeret” Tuhan, Rasul dan Kitab Suci untuk ditunggangi.