Saturday, May 13, 2006

pertemuan

Bersua dan bertemu tidak wajib bertentang mata. Percayalah. Aku hari ini bersua dengan empat insan. Pertemuan yang menerbitkan rasa keterdekatan itu mengganggu aku, lalu menimbulkan banyak pertanyaan. Pertemuan yang sebenarnya lewat sebuah buku dan dua buah filem. Sehingga saat aku mencoret apa yang ada di paparan ini, perasaan ini sukar digambarkan. Adakah aku terpana atau terharu? Atau cemburu? Dan aku sebenarnya mengharap, perasaan itu adalah cemburu. Entah kenapa aku mengharap sedemikian, aku pun tak tahu jawapannya.

Aku bangun dari tidur hari ini, menggosok gigi dan menatap cermin. Sial betul! Umurku 26 tahun, belum berhasil satu risalah apapun untuk kuhidangkan kepada manusia. Ya! Aku memang cemburu, mana tidaknya pada umurnya lebih kurang 25 tahun, anak orang kaya dari Vienna yang bernama Ludwig Wittgenstein telah mula menulis satu risalah yang besar bertajuk Tractatus Logico-Philosophicus. Orang berada ini menulisnya di celah parit-parit dan mayat soldadu Perang Dunia Pertama. Umur 25! Dan aku masih merangkak menghafal nota-nota pengajian sekadar untuk lulus peperiksaan.

Sebelum aku terlupa, pertemuan angan-angan itu terjadi kerana terinspirasi dari sebuah buku yang berjudul Wittgenstein’s Poker. Buku ini berkisar pada satu pertemuan tidak sampai 10 menit, yang “dikatakan” dan “digossipkan” telah berlaku kejadian tidak diingini antara dua filasuf besar; Karl Popper dan Ludwig Wittgenstein. Perdebatan kononnya bertukar menjadi hangat dan panas. Wittgenstein dikatakan mengacu besi pencucuk arang ke muka Popper dan dibalas Popper dengan satu ayat yang cukup terkenal, “ adalah salah mengugut dengan mengacu pencucuk kepada muka tetamu anda”.

Pertengkaran itulah menjadi latar bagi buku ini. Cuba mencari disebalik lembar sejarah di sebalik dua tokoh itu. Buku ini bagiku ada prejudisnya. Biarlah. Bukan kerana apa, kerana kedua-dua tokoh sudah “mengenakan” sihirnya. Aku sudah terpukau! Popper anak peguam Vienna yang agak berada pada mulanya, akan tetapi ayahnya jatuh susah apabila perang dunia pertama meletus. Tapi koleksi 10 000 ribu buku dirumahnya memungkinkan Popper belajar dan berfikir, seterusnya menjadi besar sebagaimana yang kita tahu. Tokoh yang menulis Open Society and Its Enemies ini adalah pencabar Wittgenstein yang utama.

bersambung.....

2 Comments:

Blogger lokman said...

bila da mau sambung ini cerita?

10:01 PM  
Blogger Khalid Jaafar said...

Tulisan ini macam dalam labirin. Awas dalam labirin ada Minataur. Hanya Theseus yang mampu membunuhnya.

11:42 PM  

Post a Comment

<< Home