Wednesday, May 24, 2006

AKU BUKAN KOMUNIS

Suratkhabar perdana berbahasa inggeris hari ini, 24 Mei, telah menerbitkan satu artikel yang ditulis oleh seseorang yang bernama Zainul Arifin. Tulisan itu bertajuk It’s not just the title that matters. Sesungguhnya tidak ada isu yang lebih mendapat perhatian melainkan isu filem “Lelaki komunis Terakhir”, dan tulisan ini tidak mahu ketinggalan di dalam memberi pendapat( lebih kepada jiwa sentimental beliau sebenarnya) dan terjebak ke dalam polemik pengharaman filem tersebut.

Tulisan beliau membuatkan saya berfikir sejenak dan lalu membuat keputusan untuk menulis satu respon. Pertamanya,saya sangat bersetuju, tidak ada apa pada tajuk, apalah yang ada pada nama? Samalah dengan Shakespeare yang menukilkan What's in a Name? "What’s in a name? That which we call a rose by any other name would smell as sweet" --Juliet, Romeo & Juliet: Act 2 Scene. Sangat bodohlah manusia yang hanya menilai paparan luar sesuatu subjek tanpa membedah apa sebenarnya isi subjek itu. Di situ saya bersama dengan seorang manusia yang bernama Zainul Arifin. Tidak lebih, hanya di situ.

Kenapa?

Kerana selepas itu hujah beliau hanyalah hujah lapuk golongan yang ingin mempertahankan cauvinisme dan konsepsi Ketuanan Melayu( baca: UMNO). Dengan berbekalkan kebolehan berbahasa inggeris, hujahnya hanyalah bersifar sentimental belaka, hujah yang mahu karyawan sentiasa bertanggungjawab terhadap karya mereka, dan oleh kerana untuk kepentingan kolektivisme sangat wajiblah karyawan mengorbankan kreativiti dan yang paling malang mengorbankan kebebasan berekspresi.

Pada pandangan saya, tanyalah mana-mana karyawan yang bersungguh-sungguh untuk berkarya, pasti mereka bertanggungjawab terhadap karya mereka. Tetapi bagaimana dengan kebebasan? Seringkali perkataaan dan konsepsi tanggungjawab menjadi altar untuk korban konsepsi KEBEBASAN.Adakah saya berpegang kepada mazhab untuk kebebasan kita boleh melakukan apa sahaja? Membunuh? Merogol? Saya menjawab TIDAK. Akan tetapi kita harus tahu sempadan kebebasan di Negara kita ditentukan oleh elit politik seperti BARISAN NASIONAL yang membungkam kebebasan untuk berkarya untuk kepentingan politik mereka. Mereka menggunakan undang-undang untuk menterjemah dan mentafsir apa itu seni, moraliti, tanggungjawab dan APA ITU KEBEBASAN. Tangan penguasa menjadi semakin panjang oleh kerana magik tafsiran yang sepatutnya berada pada kita, tetapi telah diserahkan kepada pemerintah.

Maka penulis seperti Zainul Arifin selamanya akan menjadi alat samaada secara sengaja atau tidak kepada penguasa yang takut imajinasi kebebasan akan menguasai orang muda, imajinasi yang menjadi mukjizat yang akan diterokai oleh generasi untuk mendobrak dogma-dogma politik. Dogma-dogma yang menghantui generasi terdahulu Negara kita. Tanyalah apa yang sebenarnya ditakuti mengenai komunis? Jawapannya adalah Negara kita akan menjadi Negara kepunyaan orang cina. Akan tetapi mereka ini tidaklah dipersalahkan, kerana projek barisan nasional memang begitu, agar kita bergantung harap kepada mereka selamanya. Agar institusi mereka tidak digugat kerana merekalah yang akan menghalang Negara ini menjadi Negara orang cina. Merekalah wira. Sedangkan bahaya komunisme pada konteks zaman itu ialah WUJUDNYA KERAJAAN OTORITARIAN. Kerajaan yang tidak akan memilih bulu untuk menindas, baiknya kaum tiong hua, melayu maupun India dan kaum-kaum yang lainnya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home